LTU

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA SEMUA PEMBACA BLOG LTU...MUSIM QURBAN BERMULA..SILA SINGGAH KE LADANG TERNAKAN ULU YAM UNTUK MELIHAT SENDIRI TERNAKAN KAMI ATAU HUBUNGI 0192195589 Puan Zaitun OR En Sidek 012-3770445

Syamille Agro Farm buka restoran daging

Syamille Agro Farm buka restoran daging

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my

MOHD. Zainuri di hadapan restorannya, The Butcher @ Syamille di USJ 21, Subang Jaya.

HIDANGAN seperti stik dan daging panggang merupakan antara masakan barat yang popular dan sangat digemari oleh semua lapisan masyarakat. Sesekali mengubah selera, pilihan menu seumpama itu pastinya menawarkan kelainan daripada hidangan nasi berlauk yang menjadi santapan rutin bagi rakyat negara ini.

Bayangkan betapa enaknya menikmati kepingan daging yang telah diperap dengan ramuan istimewa dan dipanggang secara rata sebelum dihidangkan bersama kelazatan sos.

Ia pasti akan membuka selera sesiapa sahaja apatah lagi jika penyediaannya menggunakan daging segar yang dapat memberi lebih kepuasan dalam setiap kunyahan.

Di sana sini terdapat banyak premis makanan ala barat yang menghidang menu ini dengan pelbagai pendekatan jualan seperti konsep koboi, kafe moden dan tidak kurang juga restoran mewah serta eksklusif.

Selain keselesaan, pelaksanaan cara tersebut sebenarnya bertujuan untuk memberi pengalaman terbaik kepada para pelanggan ketika menjamu selera seiring dengan konsep makanan yang dihidangkan.

Mencari kelainan, restoran The Butcher @ Syamille yang terletak di USJ 21, Subang Jaya telah tampil dengan konsep yang cukup unik dan menarik iaitu menerusi kedai jualan daging segar.

Mungkin jarang didengar, namun bagi pemilik restoran, Mohd. Zainuri Mohd. Idrus, beliau mempunyai penjelasan tersendiri mengapa mengetengahkan konsep berkenaan.

Ketika premis tersebut dibuka pada bulan Jun lalu, ia pada asalnya memang digunakan untuk tujuan aktiviti jualan produk daging segar.

Ini kerana Mohd. Zainuri yang mempunyai ladang ternakan sendiri berhasrat menjadikan kedai itu sebagai pusat jualan untuk produk daging lembu dan kambingnya.

''Semasa majlis pelancaran premis ini, ramai di antara pengunjung memuji keenakan makanan yang dihidangkan.

''Sejak itu, pelanggan-pelangan yang datang membeli daging di kedai ini pasti akan meminta kami memasakannya sekali,'' katanya ketika ditemui di kedainya baru-baru ini.

Penerimaan baik itu telah memberi idea kepada beliau untuk menjadikan kedai tersebut sebagai restoran jualan makanan berasaskan daging.

Konsep yang dipilih sememangnya unik kerana jarang kita temui perusahaan daging diusahakan secara kitaran lengkap.

Ia bermula dengan proses pembiakbakaan, menternak, pengeluaran makanan ternakan dan baja kompos, memproses serta menjual daging segar dan akhir sekali disediakan sebagai hidangan.

Kesemua bahan mentah daging kambing dan lembu diperolehi secara terus dari ladang ternakannya sendiri, Syamille Agro Farm & Resort yang terletak di Kampung Chuar Hulu, Kati, Kuala Kangsar.

Beliau tidak menjual haiwan ternakan tersebut sama ada secara hidup atau pun telah diproses kepada pemborong kerana semuanya digunakan untuk keperluan kedainya.

Bagi memenuhi keperluan sumber yang semakin meningkat, beliau kini telah memulakan projek ternakan di tanah seluas 50 ekar di Perlis selain bercadang membuka beberapa lagi ladang di Pahang dan Negeri Sembilan.

Melihat kepada perkidmatan yang ditawarkan di restorannya, ia amat berbeza daripada premis makanan barat lain kerana menonjolkan pelbagai keunikan.

''Dekorasi restoran ini ditampilkan dalam bentuk santai dan ringkas untuk memastikan pelanggan dapat menikmati pengalaman seperti berada di rumah.

''Selain itu, kesemua menu di sini disediakan secara sihat dan semulajadi tanpa penggunaan bahan penambah perisa, garam atau pun minyak

''Pelanggan juga boleh menentukan sendiri berat daging yang ingin dipesan berdasarkan bajet dan banyak mana mereka mahu makan,'' jelas bapa kepada seorang anak itu.

Bagi pelanggan yang datang secara berkumpulan, terdapat beberapa pakej disediakan untuk kuantiti hidangan yang bersesuaian.

Restoran berkenaan mempunyai kaedah penyediaan makanan tersendiri dengan penelitian kualiti maksimum agar semua pelanggan dapat menikmati hidangan daging segar.

Memandangkan pada asalnya restoran itu merupakan tempat memproses daging, ia telah dilengkapi dengan peralatan seperti bilik sejuk beku, bilik dingin, mesin memproses dan mesin vakum.

Semua daging mentah yang baru tiba akan menjalani proses kematangan selama lebih kurang 21 hari untuk membuang tisu, darah dan lemak yang mengandungi kolestrol.

Sepanjang aktiviti itu, daging akan disimpan di dalam pembalut nilon yang telah melalui proses vakum terlebih dahulu.

Selepas itu, barulah daging-daging itu sedia untuk dijual secara mentah atau dimasak mengikut menu yang diinginkan pelanggan.

''Kita juga ada menjual daging yang telah siap diperap dengan ramuan khas di dalam pembalut nilon.

''Untuk menyediakan hidangan itu di rumah, pengguna hanya perlu merendam daging bersama pembalut nilon di dalam air mendidih untuk jangka masa tertentu bergantung tahap masak yang diinginkan,'' katanya.

Antara menu yang ditawarkan adalah daging lembu jenis Wa'gyu atau Angus dan kambing yang dimasak secara BBQ, panggang, goreng serta gril.

Sebagai penambah perisa, masakan itu akan dihidangkan bersama tiga jenis pilihan sos iaitu sos lada hitam, sos coklat dan sos cendawan putih.

Selain itu, terdapat juga beberapa menu tambahan seperti ikan yellow panggang, jejari kentang, kentang putar, piza, pasta, coleslaw dan juga kebab.

Lebih menarik, pelanggan yang makan di restoran boleh memesan apa sahaja minuman panas atau sejuk secara percuma.

Penerimaan positif terhadap restoran itu telah mendorong bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu untuk membuka cawangan The Butcher @ Syamille di Ampang selain sebuah lagi cawangan di Subang Jaya yang sedang dalam perancangan.

Di samping itu, beliau turut menerima pelawaan daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk membuka cawangan restoran itu di sebuah lokasi di Serdang.

Dari segi tenaga kerja, setakat ini beliau mempunyai empat orang chef yang akan membantu operasi di cawangan USJ dan juga Ampang.

Restoran berkenaan dibuka setiap hari bermula jam 11 pagi hingga lewat malam.

Bagi memperkembangkan produk makanannya, beliau turut mengambil inisiatif membuat jualan secara dapur bergerak atau katering untuk majlis organisasi dan parti keluarga.

Bagi tujuan sama, beliau juga kini membuka tawaran mengkomersialkan restoran tersebut kepada pengusaha bumiputera yang berminat.

Pada peringkat awal, tumpuan lebih diberikan kepada pengusaha yang ingin melaksanakannya di sekitar kawasan Lembah Klang.

Ia melibatkan pelaburan antara RM100,000 hingga RM500,000 bergantung kepada saiz dan bentuk kedai serta produk yang ingin dijual.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Hiruddin di talian 012-3351010 atau Mustafa di 012-9111777.

Maklumat lanjut mengenai restoran tersebut boleh diperolehi menerusi laman web www.thebutchersyamille.webs.com.

1 comments:

日月神教-任我行 24 Mei 2010 10:19 PG  
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

About This Blog

Blog Ladang Ulu Yam dibina sejak 2007
Sila hubungi uluyamfarm@gmail.com
019 2195589 or 012-3770445

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP