LTU

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA SEMUA PEMBACA BLOG LTU...MUSIM QURBAN BERMULA..SILA SINGGAH KE LADANG TERNAKAN ULU YAM UNTUK MELIHAT SENDIRI TERNAKAN KAMI ATAU HUBUNGI 0192195589 Puan Zaitun OR En Sidek 012-3770445

Cuit Sikit!: Yang Bermula Pasti Berakhir

Hari ini merupakan hari terakhir blog ini. Blog ini antara blog terawal yang menjadi pengkritik dalam UMNO. Seingat saya hanya Sang Kelembai lebih awal dari saya. Mohon maaf jika salah fakta.

Blog ini saya wujudkan untuk membuktikan siapa yang menulis tidak penting tetapi yang penting apa yang ditulisnya. Hari ini berakhir sudah satu eksperimen mencari falsafah antara Pengarang dan Karya. Hujah Roland Barthes bahawa zaman ini merupakan zaman "the death of the author and the birth of the reader" ada kebenarannya.

Eksperimen ini membuktikan tanpa wajah pengarang, karya atau bahan tulisan akan lebih mudah ditafsir secara adil. Malahan tidak mungkin bahan dalam blog ini dipetik oleh sumber lain termasuk web pembangkang jika mereka mengetahui siapa saya.

Setiap yang bermula pasti berakhir. Demikian juga blog ini. Kebebasan menulis sudah tiada di dalam blog ini kerana sudah wujud kecenderungan mentafsir apa yang ditulis berdasarkan siapa yang menulis.

Berakhirnya blog ini bukan kerana takut kepada sesiapa. Berakhirnya blog ini kerana tidak mahu sesiapa pun menjadi mangsa. Saya adalah penulis "gasar" yang menulis dari hati nurani dan pemikiran saya. Apabila buah fikiran saya sudah dijadikan alat untuk memangsakan orang lain, sudah pasti tiba masanya saya mengundurkan diri.

Pada hemat saya, kontroversi penulisan saya yang terakhir mengenai rasuah politik sudah melarat-larat sehingga membabitkan tokoh politik tertentu yang tidak pun mengetahui kewujudan blog ini.

Namun yang paling mengecewakan saya ialah bukan tulisan ini yang dikritik tetapi unsur-unsur "pembunuhan karektor" (Character assassination) bersandarkan pendedahan nama, butiran peribadi dan kononnya kaitan saya dengan beberapa pemimpin politik.

Agak sukar untuk saya memahami tingkah laku rakan-rakan yang mendedahkan peribadi di laman web ini termasuk nama syarikat, rumah dan sebagainya. Sungguhpun pendedahan tersebut tidak menjejaskan reputasi saya sebagai seorang muslim, namun ia telah menjadikan butiran peribadi saya sebagai public domain.

Hakikat bahawa ia didedahkan di sebuah laman yang berkait rapat dengan Tun Dr. Mahathir membuktikan cakap-cakap sebelum ini bahawa serangan terhadap saya direstui oleh "orang penting" pejabat Tun r. Mahathir. Sebelum ini saya kurang pasti walaupun seorang bloger dengan bangga mengakui serangan ini direstui oleh "orang penting" di Pejabat Tun Dr. Mahathir. Inilah kata orang habis madu sepah dibuang.

Saya tidak berhasrat untuk mengiya atau menafikan semua serangan itu. Biarlah...

Saya juga terfikir untuk mendedahkan identiti dan latar belakang banyak rakan-rakan siber yang sebahagiannya bekerja dengan kerajaan atau mempunyai kontrak dengan agensi kerajaan.

Namun akal waras mengingatkan saya bahawa adalah tidak guna mencemarkan tahap profesionalisme saya setaraf dengan mereka.

Saya mengenali ramai penulis dan bloger yang membantu Khairy Jamaluddin, pro Pak Lah dan penggerak UMNO, namun mereka tidak pernah mendedahkan identiti saya di laman web. Sama seperti saya juga tidak pernah mendedahkan mereka di dalam laman web. Semua ini tidak ada sebarang persefahaman. Sebaliknya sikap menghormati hak peribadi orang lain amat tinggi.

Saya juga pernah mengenali generasi awal pentadbir laman Mahazalim tetapi tidak pernah mendedahkan identiti mereka di laman web. Saya juga mengetahui ramai rakan-rakan blogger yang ada hubung kait dengan pemimpin politik tertentu namun saya tidak terfikir mendedahkan diri mereka.

Beberapa hari lalu saya terfikir untuk mendedahkan ramai rakan-rakan alam siber ini. Alang-alang mandi biar basah, alang-alang bergaduh biar sama-sama lebam. Tapi saya juga sedar tiada guna membakar kelambu kerana nyamuk. Tiada guna membakar kota kerana "jokers".

Catatan ini sekadar pengajaran kepada rakan-rakan lain yang mahu terus kekal "anonymous", berhati-hatilah dengan kumpulan ini. Mereka ini bukan sahaja tidak profesional malah tidak beretika langsung.

Apa yang berlaku dua tiga hari lepas membuktikan orang politik walau sebaik mana dan seagung mana, dari pemimpin kecil sehingga pemimpin besar dan sehebat mana pun mereka, hakikatnya kita akan menjadi sampah bila tidak diperlukan.

Akhir bicara, saya mohon maaf kepada semua pembaca dan pengkritik, kepada orang yang dikritik dan orang yang disanjung. Saya berharap tulisan saya selama ini tidak mengandungi sebarang unsur fitnah dan pembohongan.

Saya juga ingin berterima kasih kepada rakan-rakan yang banyak memberi sokongan dan dorongan untuk blog ini termasuk kepada saudara Ahiruddin Atan yang banyak meninggalkan nasihat dalam blog ini tanpa menyedari siapa saya sebenarnya.

Akhirul kalam, maaf zahir batin.

Cuit Sikit!: Yang Bermula Pasti Berakhir

0 comments:

About This Blog

Blog Ladang Ulu Yam dibina sejak 2007
Sila hubungi uluyamfarm@gmail.com
019 2195589 or 012-3770445

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP